TVET UMPSA

News & Events

Previous Next

Lawatan Penanda Aras dari UMS

LAWATAN PENANDA ARAS UMS
26 Ogos 2026
 
Lawatan penanda aras oleh Profesor Ir. Ts. Dr. Zainal Bin Zakaria, UMS ke Akademi TVET Termaju bagi menubuhkan Pusat TVET di UMS Labuan dan perbincangan Program Pesisir UMPSA.
Mesyuarat turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ts. Dr Kamal bin Yusof, Dekan ATVET, Datuk Profesor Ts. Dr. Mohd Shahrir bin Mohd Sani, Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Akademik, Profesor Ts. Dr. Mohd. Ruzaimi bin Mohd Rejab dan Ketua Jabatan ATVET.
 
Lawatan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan strategik antara UMS dan UMPSA serta membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat dalam pembangunan program TVET, perkongsian kepakaran dan peningkatan kualiti pendidikan selaras dengan keperluan industri semasa.
Previous Next

Akademi TVET Termaju (ATVET) UMPSA Meriahkan Hari Terbuka InSTAR 2026

AKADEMI TVET TERMAJU (ATVET) UMPSA MERIAHKAN HARI TERBUKA InSTAR 2026
 
Pada 15 Ogos 2026, Akademi TVET Termaju (ATVET), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai pameran sempena Hari Terbuka InSTAR 2026 yang berlangsung di Balai Gemilang, SBP Integrasi Tun Abdul Razak (InSTAR), Pekan, Pahang. Penyertaan ini memberi peluang kepada ATVET untuk memperkenalkan pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pelbagai aktiviti interaktif, demonstrasi teknologi serta pameran peralatan teknikal.
 
Penyertaan ATVET memberi fokus kepada pendedahan teknologi dan kemahiran TVET dalam bidang pengukuran kejuruteraan, teknologi dron, paparan digital dan automasi industri. Pendekatan hands-on yang diketengahkan membolehkan para pengunjung memahami aplikasi teknologi dengan lebih dekat melalui pengalaman secara langsung.
Antara aktiviti yang menarik perhatian pengunjung ialah Measure Like a Pro, yang memberi peluang kepada peserta mencuba teknik pengukuran menggunakan Vernier Caliper, Micrometer dan Pitch Gauge. ATVET turut mempamerkan DIY Drone Set sebagai pengenalan kepada teknologi dron, selain demonstrasi 3D Hologram LED Fan yang mengetengahkan teknologi paparan digital interaktif.
Dalam bidang automasi industri pula, Omron PLC Flexlite 4.0 turut dipamerkan bagi memberikan pendedahan kepada pengunjung mengenai sistem kawalan berasaskan Programmable Logic Controller (PLC) serta aplikasinya dalam persekitaran industri.
 
Penglibatan ATVET dalam Hari Terbuka InSTAR 2026 mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkenalkan pendidikan TVET yang berteraskan kemahiran, teknologi dan aplikasi industri kepada generasi muda. Pameran ini telah dikendalikan oleh Ts. Junaedi Irwan bin Wan Abdul Halim, En. Mohd Syaifuad bin Jasemi dan Ts. Zulfika bin Anuar.
Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penyertaan ATVET sempena Hari Terbuka InSTAR 2026.
Previous Next

Ziarah Ts. Mohamad Zaki di SASMEC @IIUM oleh JK KReAT ATVET

Ahli Jawatankuasa Kelab Kebajikan & Rekreasi ATVET (KReAT) ATVET yang dipimpin oleh Ts. Mohd Anuar bin Ramli telah menziarahi Ts. Mohamad Zaki bin Sahad di Hospital Sultan Ahmad Shah UIAM pada 24 Ogos 2026. Seluruh warga ATVET mendoakan kesembuhan kepada Ts Mohamad Zaki.

Previous Next

Karnival STEM 2026 | Sk Peramu Jaya [19 Ogos 26]

KARNIVAL STEM 2026 | SK PERAMU JAYA 
 
UMPSA SEMARAKKAN MINAT STEM, CETUS INSPIRASI GENERASI MUDA! 🔬
Akademi TVET Termaju, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmen dalam menyemarakkan minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi penglibatan dalam Karnival STEM 2026 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Peramu Jaya pada 19 Ogos 2026 (Rabu).
Program yang melibatkan murid Tahun 4, 5 dan 6 ini menjadi platform pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna apabila para peserta berpeluang meneroka dunia STEM menerusi pelbagai aktiviti secara hands-on, interaktif dan eksperimen secara langsung. 
 
Sepanjang program, murid didedahkan kepada pelbagai aktiviti menarik seperti Drone, Roket Air, Kit Energy dan Elephant Toothpaste. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menghiburkan, malah memberi peluang kepada murid untuk memahami konsep asas STEM melalui pengalaman sebenar, pemerhatian, penerokaan dan penyelesaian masalah. 
Pendekatan pembelajaran secara praktikal ini turut membantu mencetuskan rasa ingin tahu, kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan murid. Dalam suasana pembelajaran yang santai dan menyeronokkan, mereka dapat melihat bahawa STEM bukan sekadar pembelajaran di dalam buku teks, tetapi merupakan satu bidang yang dekat dengan kehidupan seharian serta penuh dengan peluang untuk diterokai.⚡
Penglibatan UMPSA melalui Akademi TVET Termaju dalam program seperti ini juga mencerminkan usaha berterusan universiti untuk mendekatkan pendidikan tinggi dengan komuniti sekolah, di samping memperkenalkan dunia TVET dan STEM kepada generasi muda sejak peringkat awal. 
 
Diharapkan pengalaman yang diperoleh sepanjang Karnival STEM 2026 ini dapat menjadi pencetus kepada minat dan inspirasi murid untuk terus meneroka bidang STEM, seterusnya membina keyakinan untuk menjadi generasi berilmu, kreatif, inovatif dan berdaya saing pada masa hadapan. 
Sekalung penghargaan dan tahniah kepada SK Peramu Jaya atas penganjuran program yang penuh inspirasi ini serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Karnival STEM 2026.
UMPSA komited untuk terus bersama-sama membina generasi masa depan melalui STEM dan TVET! 💙
✨ Teroka. Cipta. Inovasi. Inspirasi.
🚀 STEM hari ini, pencipta masa depan!
 
Previous Next

TRAIN OF TRAINER: Commercial EV IoT & Telematics System Training [3 Ogos 26]

⚡ TRAIN OF TRAINER: COMMERCIAL EV IoT & TELEMATICS SYSTEM TRAINING 🚗🔋
Memperkasa kompetensi pensyarah TVET dalam teknologi kenderaan elektrik, IoT dan sistem telematik!
Akademi TVET Termaju, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan program Train of Trainer: Commercial EV IoT and Telematics System Training yang berlangsung selama lima hari di Makmal EV & Hybrid, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), UMPSA.
Program yang berlangsung pada 3 hingga 7 Ogos 2026 ini melibatkan seramai 10 orang pensyarah daripada TVETMARA Jasin sebagai peserta. Penganjuran latihan ini bertujuan memperkukuh pengetahuan, kemahiran dan kompetensi tenaga pengajar dalam teknologi kenderaan elektrik (EV), Internet of Things (IoT) serta sistem telematik automotif yang semakin berkembang seiring dengan keperluan industri masa kini.
 
Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada pelbagai aspek teknologi dan aplikasi Commercial EV, IoT, sistem telematik, vehicle connectivity, pemantauan data serta sistem diagnostik moden. 🚗🔋📡
Pendekatan pembelajaran yang menggabungkan teori dan latihan amali turut memberikan peluang kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam berkaitan operasi, fungsi serta aplikasi teknologi EV dan sistem berkaitan dalam situasi sebenar.
Melalui latihan ini, para pensyarah bukan sahaja dapat meningkatkan kompetensi teknikal, malah berupaya membawa pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh untuk dikongsikan bersama para pelajar TVET. Usaha ini penting dalam memastikan tenaga pengajar sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terkini dan mampu menyediakan graduan yang mempunyai kemahiran relevan dengan keperluan industri.
 
Barisan pengajar yang terlibat dalam program ini terdiri daripada:
👨‍🏫 Ir. Ts. Dr. Muhammad Ikram bin Mohd Rashid
👨‍🏫 Ts. Muhammad Imran bin Mohmad Sairaji
👨‍🏫 Ts. Mohd Idzwanrosli bin Mohd Ramli
 
Penganjuran program ini turut memperkukuh jaringan kerjasama dan perkongsian kepakaran antara Akademi TVET Termaju UMPSA dan TVETMARA Jasin, khususnya dalam bidang teknologi automotif, kenderaan elektrik dan teknologi digital masa hadapan. 🤝
Kerjasama strategik seperti ini menjadi platform penting dalam memperkasakan ekosistem TVET negara melalui perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman antara institusi pendidikan serta pemain dalam bidang latihan kemahiran.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada 10 orang pensyarah TVETMARA Jasin, barisan pengajar serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
🌱 Pensyarah berkemahiran, pelajar berdaya saing, industri diperkasa.
Akademi TVET Termaju, UMPSA
Memacu Kompetensi TVET, Mendepani Teknologi Masa Hadapan. 🇲🇾⚡
 
Previous Next

PROGRAM MOBILITI PELAJAR UNNES : Latihan Non-Destructive Testing – Magnetic Particle Testing [10 Julai]

PROGRAM MOBILITI PELAJAR UNNES: LATIHAN NON-DESTRUCTIVE TESTING – MAGNETIC PARTICLE TESTING (MPT) OLEH AKADEMI TVET TERMAJU DI MAKMAL FTKMA
 
Pekan, 10 Julai 2026 – Sempena Program Mobiliti Pelajar Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia yang berlangsung di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), FTKMA telah menjemput Akademi TVET Termaju (ATVET) untuk mengendalikan latihan teknikal TVET di Makmal FTKMA.
 
Bagi menjayakan program tersebut, Kursus Non-Destructive Testing: Magnetic Particle Testing (MPT) telah dilaksanakan dengan penyertaan seramai 23 orang pelajar UNNES. Kursus intensif selama satu hari ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengenalan Non-Destructive Testing (NDT), teori kemagnetan, prinsip asas Magnetic Particle Testing (MPT) serta proses pelaksanaan pemeriksaan menggunakan kaedah MPT mengikut amalan industri.
 
Selain sesi teori, para peserta turut mengikuti latihan amali (hands-on) menggunakan peralatan Magnetic Particle Testing bagi mengesan kecacatan pada bahan ferromagnetic. Peserta juga didedahkan kepada kaedah penyediaan laporan teknikal berdasarkan hasil pengujian selaras dengan standard dan amalan industri.
Kursus ini dikendalikan oleh Ts. Junaedi Irwan bin Wan Abdul Halim dan Ts. Mohd Sazali bin Salleh, yang berkongsi kepakaran serta pengalaman dalam bidang NDT dan MPT.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen ATVET dalam menyokong usaha FTKMA memperkukuh pelaksanaan program mobiliti antarabangsa. Inisiatif ini turut memperkukuhkan jaringan kerjasama akademik antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan modal insan yang kompeten, berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri global.
Previous Next

ATVET T-CERT : Authorized ASTM D638 Material Tester [20 - 21 Jun]

ATVET T-CERT
AUTHORIZED ASTM D638 MATERIAL TESTER
20 - 21 JUN 2026
 
Kursus Authorized ASTM D638 Material Tester (3rd Batch) Berjaya DilaksanakanAkademi TVET Termaju (ATVET), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus komited dalam memperkasa kompetensi pelajar melalui penganjuran Kursus Authorized ASTM D638 Material Tester (3rd Batch) yang telah berlangsung pada 20 dan 21 Jun 2026 di Bio Scale Up 1 Lab, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), UMPSA Kampus Gambang.
 
Kursus ini dikendalikan oleh gandingan dua tenaga pengajarberpengalaman dari ATVET UMPSA iaitu Ts. Aidil Shafiza dan Ts. Joharizal. Seramai 25 orang pelajar tahun akhirFakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) telah diberipendedahan menyeluruh mengenai piawaian ASTM D638, pengendalian Universal Testing Machine (UTM), penyediaanspesimen, prosedur ujian tegangan (tensile testing), analisiskeputusan ujian serta penyediaan laporan teknikal. Pesertaturut menjalani penilaian kompetensi bagi mengukur tahappenguasaan mereka terhadap aspek teori dan amali sebelumdianugerahkan Sijil Kompetensi Authorized ASTM D638 Material Tester.
 
Penganjuran kursus ini merupakan sebahagian daripadainisiatif ATVET UMPSA dalam meningkatkankebolehpasaran graduan melalui pensijilan kompetensi yang relevan dengan keperluan industri. Tahniah kepada semuapeserta yang berjaya menamatkan kursus dan memperolehpengiktirafan sebagai Authorized ASTM D638 Material Tester(3rdBatch). Semoga ilmu dan kemahiran yang diperoleh menjadi nilai tambah dalam melangkah ke alampekerjaan serta menyokong pembangunan modal insan TVET yang berdaya saing.
Previous Next

ATVET T-CERT : Single Phase Electrical Installation For Industrial And Building System [13 - 14 Jun]

ATVET T-CERT 2026
SINGLE PHASE ELECTRICAL INSTALLATION FOR INDUSTRIAL AND BUILDING SYSTEMS
13-14 JUN 2026
 
Dalam usaha memperkukuh kompetensi teknikal dan kebolehpasaran graduan, Akademi TVET Termaju (ATVET) dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (FTKEE) telah menganjurkan Kursus Single Phase Electrical Installation for Industrial and Building Systems pada 13 & 14 Jun 2026 di Makmal Pendawaian Elektrik, FTKEE, UMPSA Pekan.
 
Kursus yang disertai oleh 20 orang pelajar tahun akhir FTKPM ini telah dikendalikan oleh Ts. Hairul Ajiki Hashim dan Ts. Nazriyah Hj. Che Zan. Sepanjang dua hari pelaksanaan, peserta mengikuti sesi teori berkaitan sistem bekalan kuasa elektrik di Malaysia, prinsip pendawaian satu fasa, demonstrasi serta latihan amali pendawaian melibatkan pemasangan lampu, kipas dan soket alir keluar.
 
Peserta turut didedahkan dengan kaedah pengujian sistem pendawaian serta amalan keselamatan elektrik yang perlu dipatuhi mengikut prosedur industri.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam melahirkan graduan TVET yang kompeten, berkemahiran tinggi dan bersedia memenuhi keperluan industri. Tahniah kepada semua peserta yang berjaya menamatkan latihan dan penilaian yang telah ditetapkan.
 
Previous Next

ATVET T-CERT : Cross-Platform Mobile App Development With Flutter [13 -14 Jun]

ATVET T-CERT 2026
Cross-Platform Mobile App Development With Flutter
13 & 14 JUN 2026

 

Akademi TVET Termaju dengan Kerjasama Fakulti Komputeran telah berjaya menganjurkan latihan kompetensi T-Cert "Pembangunan Aplikasi Mudah Alih Merentas Platform dengan Flutter" yang disertai oleh 33 orang pelajar tahun akhir dari Fakulti Komputeran. Program latihan selama dua hari ini dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Akademi TVET Termaju iaitu Ts. Kirahman Ab Razak dan Ts. Wan Hassan Wan Hamat.

Program yang dijalankan pada 13 dan 14 Jun 2026 ini dirangka khusus untuk meningkatkan kompetensi peserta dengan memfokuskan kepada konfigurasi alatan perisian seperi Flutter SDK, Visual Studio Code dan Android Studio, memanipulasi komponen ‘Flutter Widgets’, serta pemisahan logik antara ‘Stateless’ dan ‘Stateful Widgets’. Selain membina pemahaman reka bentuk antaramuka pengguna (UI) yang dinamik, para peserta turut didedahkan dengan pengurusan aliran kerja industri seperti sistem navigasi, pengesahan ‘Form’, dan integrasi keselamatan pangkalan data awan melalui perkhidmatan Google ‘Firebase Authentication’.

Latihan berorientasikan praktikal ini telah memberikan impak apabila kesemua 33 peserta dapat mengetahui ciri-ciri modulariti Flutter serta penggunaan fungsi ‘Hot Reload’ yang boleh memendekkan masa pembangunan kod berbanding dengan kaedah tradisional. Peserta juga telah dinilai melalui projek mini secara individu dengan membina asas antaramuka utama seperti aplikasi komersial Zalora. Keberhasilan program ini bukan sahaja memberi pendedahan dalam pembangunan aplikasi mudah alih yang menarik, malahan dapat membekalkan kemahiran teknikal yang sangat bernilai bagi persediaan Projek Sarjana Muda (PSM) dan peluang kerjaya di masa hadapan.

Previous Next

ATVET T-CERT: Practical Guide To Small-scale Off-grid Solar PV Systems [13 - 14 Jun]

ATVET T-CERT 2026
PRACTICAL GUIDE TO SMALL-SCALE OFF-GRID SOLAR PV SYSTEMS
13 & 14 JUN 2026
 
Seramai 20 orang pelajar tahun akhir daripada Fakulti Teknologi Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai Program Pemerkasaan Kompetensi Pelajar: Practical Guide to Small-Scale Off-Grid Solar PV Systems pada 13 – 14 Jun 2026 dan berlangsung di Makmal Tenaga Alternatif, FTKEE UMPSA.
Program ini dianjurkan bagi meningkatkan kompetensi pelajar dalam bidang tenaga solar melalui pendedahan secara teori dan amali berkaitan sistem PV Off-Grid dengan matlamat menyediakan pelajar dengan ilmu yang berkait secara langsung dengan keperluan industri dan masyarakat serta memberikan nilai tambah kepada pelajar melalui pensijilan kompetensi.
 
Program latihan selama dua hari ini dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Akademi TVET Termaju iaitu En. Mohamad Azlan bin Mat Hussin dan Ts. Nidzamuddeen bin Ishak. Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada beberapa topik utama termasuk aplikasi sistem off-grid, pengiraan beban, pemilihan dan saiz sistem serta perlindungan sistem dan peranti keselamatan.
 
Selain sesi teori, peserta turut mengikuti sesi amali yang memberi peluang kepada mereka untuk membina dan memasang sistem solar PV luar grid secara langsung. Melalui sesi ini, para pelajar berpeluang memahami proses pemilihan komponen, sambungan sistem, pengujian prestasi dan aspek keselamatan dalam pemasangan sistem solar PV berskala kecil.
Program ini selaras dengan usaha UMPSA untuk memperkasakan kemahiran teknikal pelajar serta meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui penguasaan teknologi. Diharapkan pendedahan yang diperoleh melalui program ini dapat membantu pelajar mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam situasi sebenar serta menyumbang kepada pembangunan industri tenaga hijau negara pada masa hadapan.
Image
— Contact
Academy for Advanced TVET,
Teaching Factory Building,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah,
26600 Pekan Pahang

— Quick Link