TVET UMPSA

Berita

Previous Next

ATVET di Pertandingan KV Skills Peringkat Kebangsaan Kali Ke-10

14 SEPTEMBER 2026 | KOLEJ VOKASIONAL KUANTAN
 
PERTANDINGAN KV SKILLS PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-10 TAHUN 2026 - PENGELOLA ZON PAHANG
Previous Next

ATVET Perkasa Kompetensi NDT Pelajar Mobiliti LRVTC Melalui Latihan Magnetic Particle Testing

OGOS – SEPTEMBER 2026
 
Akademi TVET Termaju (ATVET), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kerjasama TVET antarabangsa melalui pelaksanaan kursus Non-Destructive Testing (NDT), khususnya Magnetic Particle Testing (MT), kepada pelajar mobiliti dari Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC), China.
Kursus ini merupakan sebahagian daripada Program Mobiliti Antarabangsa UMPSA–LRVTC yang dilaksanakan secara berperingkat dalam lima batch, melibatkan keseluruhan 100 orang pelajar.
Berlangsung selama satu setengah hari, kursus ini direka bentuk dengan pendekatan teori, demonstrasi dan latihan amali (hands-on) bagi memberikan pendedahan kepada peserta terhadap prinsip asas NDT, konsep kemagnetan, kaedah pemeriksaan serta aplikasi Magnetic Particle Testing dalam mengesan ketakselanjaran permukaan dan hampir permukaan pada bahan atau komponen feromagnetik.
Pada hari pertama, peserta mengikuti taklimat keselamatan serta sesi teori berkaitan prinsip NDT dan Magnetic Particle Testing. Sesi kemudiannya diteruskan dengan demonstrasi teknik dan prosedur pemeriksaan menggunakan peralatan NDT sebenar. Peserta seterusnya dibahagikan kepada empat kumpulan bagi menjalankan latihan amali secara berstruktur dengan bimbingan fasilitator.
 
Pada hari kedua, peserta diberi peluang melaksanakan pemeriksaan secara lebih kendiri dengan mengaplikasikan prosedur dan teknik yang telah dipelajari. Setiap kumpulan kemudiannya membentangkan hasil pemeriksaan, termasuk kaedah pemeriksaan, pemerhatian terhadap indikasi serta dapatan yang diperoleh. Sesi ini turut memberikan ruang kepada fasilitator untuk menilai kefahaman dan ketepatan hasil pemeriksaan peserta. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan amali ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman teknikal dalam bidang NDT, malah turut membangunkan kompetensi kerja berpasukan, komunikasi teknikal, kemahiran pemerhatian, analisis serta penyelesaian masalah yang selari dengan keperluan persekitaran industri.
 
Program turut diakhiri dengan penyampaian sijil kepada peserta mobiliti LRVTC sebagai pengiktirafan terhadap penyertaan dan komitmen mereka sepanjang mengikuti latihan di ATVET.
Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen UMPSA melalui ATVET dalam memperkasa pendidikan dan latihan TVET berorientasikan industri, memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta menyediakan pengalaman pembelajaran teknikal bertaraf global kepada peserta. Program mobiliti UMPSA–LRVTC juga menjadi platform strategik dalam memperkukuh hubungan institusi antara Malaysia dan China, di samping memperlihatkan keupayaan ATVET sebagai hab latihan TVET yang menyokong pembangunan kompetensi teknikal, pendedahan teknologi serta pembelajaran berasaskan amali.
Tahniah dan syabas kepada semua peserta LRVTC serta warga ATVET, UMPSA dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program mobiliti antarabangsa ini.
Previous Next

UMPSA Raih Pengiktirafan Malaysia Education & TVET Awards 2026

UMPSA Raih Pengiktirafan Malaysia Education & TVET Awards 2026

Kuala Lumpur, 27 Ogos 2026 – Akademi TVET Termaju, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukuhkan kecemerlangan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila menerima pengiktirafan TVET Industry Collaboration & Research Award pada Malaysia Education & TVET Awards 2026 yang telah diadakan di Berjaya Time Square Hotel, Kuala Lumpur.
Pengiktirafan yang dianjurkan oleh Education + TVET Asia itu diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian, komitmen dan sumbangan institusi dalam memperkasakan agenda pendidikan serta TVET di Malaysia, khususnya melalui pembangunan bakat, kerjasama strategik bersama industri dan pengukuhan aktiviti penyelidikan.
 
Pencapaian ini mencerminkan komitmen Akademi TVET Termaju UMPSA dalam memperkukuh ekosistem TVET yang berorientasikan industri, inovasi dan penyelidikan, selaras dengan aspirasi UMPSA sebagai universiti teknologi yang menerajui pembangunan bakat berkemahiran tinggi. Melalui jaringan kerjasama strategik dengan pihak industri, institusi TVET, institusi pengajian tinggi serta rakan antarabangsa, Akademi TVET Termaju terus berperanan sebagai platform untuk memperluas peluang kolaborasi, penyelidikan gunaan, pembangunan kompetensi serta pemindahan ilmu dan teknologi.
Pengiktirafan ini juga menjadi pemangkin kepada Akademi TVET Termaju untuk terus memperkukuh agenda Advanced TVET di peringkat nasional dan antarabangsa, termasuk usaha menjadikan Malaysia sebagai hab rujukan TVET termaju di rantau Asia-Pasifik.Kejayaan tersebut turut memperlihatkan kesungguhan UMPSA dalam membangunkan ekosistem TVET yang dinamik, responsif terhadap keperluan industri dan berupaya melahirkan graduan yang kompeten, inovatif serta bersedia menghadapi tuntutan Revolusi Industri 4.0.
 
Tahniah kepada seluruh warga UMPSA atas pencapaian membanggakan ini dan semoga pengiktirafan tersebut terus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan serta peluasan jaringan kerjasama TVET di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
Previous Next

Program Pertukaran Teknologi Strategik dan Penanda Aras Industri ke Singapura

 
Delegasi FTKEE UMPSA yang diwakili oleh Ir. Ts. Mohamad Rahimi bin Mohamed Rodzi dan Ir. Ts. Nik Mohd Zaitul Akamal bin Mustapha telah menyertai Program Pertukaran Teknologi dan Lawatan Kerja Strategik ke Temasek Polytechnic Advanced Manufacturing Centre (AMC) dan OMRON Automation Center (ATC), Singapura. Program ini dianjurkan hasil jemputan daripada OMRON Electronics Malaysia bertujuan memperkukuhkan kerjasama strategik antara UMPSA, OMRON Electronics Malaysia, OMRON Singapore, dan Temasek Polytechnic. Lawatan kerja ini merangkumi aktiviti penandaarasan fasiliti, pertukaran teknologi, serta penerokaan peluang latihan industri, penyelidikan gunaan, dan persediaan pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU).
 
Menerusi program ini, delegasi telah didedahkan kepada fasiliti Smart Manufacturing yang memanfaatkan teknologi automasi moden seperti Collaborative Robot (Cobot), 3D Machine Vision, Autonomous Mobile Robot (AMR), dan Motion Control. Pihak UMPSA turut membentangkan keupayaan Industrial Automation Laboratory dan Mini Process Plant FTKEE serta memperkenalkan peranannya sebagai platform latihan automasi industri dan ASEAN TVET Hub. Selain itu, perbincangan strategik turut diadakan bagi meneroka peluang pembangunan kurikulum berasaskan industri, pensijilan profesional, pelaksanaan Proof-of-Concept (PoC), dan latihan kemahiran berasaskan projek.
 
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak Temasek Polytechnic, OMRON Singapore, OMRON Malaysia, dan EM Systems Sdn. Bhd. atas sokongan serta komitmen sepanjang program ini berlangsung. Semoga jalinan kerjasama ini dapat memacu dan memperkasakan ekosistem pendidikan TVET serta teknologi automasi industri negara.
Previous Next

Lawatan Penanda Aras dari UMS

LAWATAN PENANDA ARAS UMS
26 Ogos 2026
 
Lawatan penanda aras oleh Profesor Ir. Ts. Dr. Zainal Bin Zakaria, UMS ke Akademi TVET Termaju bagi menubuhkan Pusat TVET di UMS Labuan dan perbincangan Program Pesisir UMPSA.
Mesyuarat turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ts. Dr Kamal bin Yusof, Dekan ATVET, Datuk Profesor Ts. Dr. Mohd Shahrir bin Mohd Sani, Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Akademik, Profesor Ts. Dr. Mohd. Ruzaimi bin Mohd Rejab dan Ketua Jabatan ATVET.
 
Lawatan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan strategik antara UMS dan UMPSA serta membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat dalam pembangunan program TVET, perkongsian kepakaran dan peningkatan kualiti pendidikan selaras dengan keperluan industri semasa.
Previous Next

Akademi TVET Termaju (ATVET) UMPSA Meriahkan Hari Terbuka InSTAR 2026

AKADEMI TVET TERMAJU (ATVET) UMPSA MERIAHKAN HARI TERBUKA InSTAR 2026
 
Pada 15 Ogos 2026, Akademi TVET Termaju (ATVET), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai pameran sempena Hari Terbuka InSTAR 2026 yang berlangsung di Balai Gemilang, SBP Integrasi Tun Abdul Razak (InSTAR), Pekan, Pahang. Penyertaan ini memberi peluang kepada ATVET untuk memperkenalkan pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pelbagai aktiviti interaktif, demonstrasi teknologi serta pameran peralatan teknikal.
 
Penyertaan ATVET memberi fokus kepada pendedahan teknologi dan kemahiran TVET dalam bidang pengukuran kejuruteraan, teknologi dron, paparan digital dan automasi industri. Pendekatan hands-on yang diketengahkan membolehkan para pengunjung memahami aplikasi teknologi dengan lebih dekat melalui pengalaman secara langsung.
Antara aktiviti yang menarik perhatian pengunjung ialah Measure Like a Pro, yang memberi peluang kepada peserta mencuba teknik pengukuran menggunakan Vernier Caliper, Micrometer dan Pitch Gauge. ATVET turut mempamerkan DIY Drone Set sebagai pengenalan kepada teknologi dron, selain demonstrasi 3D Hologram LED Fan yang mengetengahkan teknologi paparan digital interaktif.
Dalam bidang automasi industri pula, Omron PLC Flexlite 4.0 turut dipamerkan bagi memberikan pendedahan kepada pengunjung mengenai sistem kawalan berasaskan Programmable Logic Controller (PLC) serta aplikasinya dalam persekitaran industri.
 
Penglibatan ATVET dalam Hari Terbuka InSTAR 2026 mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkenalkan pendidikan TVET yang berteraskan kemahiran, teknologi dan aplikasi industri kepada generasi muda. Pameran ini telah dikendalikan oleh Ts. Junaedi Irwan bin Wan Abdul Halim, En. Mohd Syaifuad bin Jasemi dan Ts. Zulfika bin Anuar.
Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penyertaan ATVET sempena Hari Terbuka InSTAR 2026.
Previous Next

Ziarah Ts. Mohamad Zaki di SASMEC @IIUM oleh JK KReAT ATVET

Ahli Jawatankuasa Kelab Kebajikan & Rekreasi ATVET (KReAT) ATVET yang dipimpin oleh Ts. Mohd Anuar bin Ramli telah menziarahi Ts. Mohamad Zaki bin Sahad di Hospital Sultan Ahmad Shah UIAM pada 24 Ogos 2026. Seluruh warga ATVET mendoakan kesembuhan kepada Ts Mohamad Zaki.

Previous Next

Karnival STEM 2026 | Sk Peramu Jaya [19 Ogos 26]

KARNIVAL STEM 2026 | SK PERAMU JAYA 
 
UMPSA SEMARAKKAN MINAT STEM, CETUS INSPIRASI GENERASI MUDA! 🔬
Akademi TVET Termaju, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmen dalam menyemarakkan minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi penglibatan dalam Karnival STEM 2026 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Peramu Jaya pada 19 Ogos 2026 (Rabu).
Program yang melibatkan murid Tahun 4, 5 dan 6 ini menjadi platform pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna apabila para peserta berpeluang meneroka dunia STEM menerusi pelbagai aktiviti secara hands-on, interaktif dan eksperimen secara langsung. 
 
Sepanjang program, murid didedahkan kepada pelbagai aktiviti menarik seperti Drone, Roket Air, Kit Energy dan Elephant Toothpaste. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menghiburkan, malah memberi peluang kepada murid untuk memahami konsep asas STEM melalui pengalaman sebenar, pemerhatian, penerokaan dan penyelesaian masalah. 
Pendekatan pembelajaran secara praktikal ini turut membantu mencetuskan rasa ingin tahu, kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan murid. Dalam suasana pembelajaran yang santai dan menyeronokkan, mereka dapat melihat bahawa STEM bukan sekadar pembelajaran di dalam buku teks, tetapi merupakan satu bidang yang dekat dengan kehidupan seharian serta penuh dengan peluang untuk diterokai.⚡
Penglibatan UMPSA melalui Akademi TVET Termaju dalam program seperti ini juga mencerminkan usaha berterusan universiti untuk mendekatkan pendidikan tinggi dengan komuniti sekolah, di samping memperkenalkan dunia TVET dan STEM kepada generasi muda sejak peringkat awal. 
 
Diharapkan pengalaman yang diperoleh sepanjang Karnival STEM 2026 ini dapat menjadi pencetus kepada minat dan inspirasi murid untuk terus meneroka bidang STEM, seterusnya membina keyakinan untuk menjadi generasi berilmu, kreatif, inovatif dan berdaya saing pada masa hadapan. 
Sekalung penghargaan dan tahniah kepada SK Peramu Jaya atas penganjuran program yang penuh inspirasi ini serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Karnival STEM 2026.
UMPSA komited untuk terus bersama-sama membina generasi masa depan melalui STEM dan TVET! 💙
✨ Teroka. Cipta. Inovasi. Inspirasi.
🚀 STEM hari ini, pencipta masa depan!
 
Previous Next

TRAIN OF TRAINER: Commercial EV IoT & Telematics System Training [3 Ogos 26]

⚡ TRAIN OF TRAINER: COMMERCIAL EV IoT & TELEMATICS SYSTEM TRAINING 🚗🔋
Memperkasa kompetensi pensyarah TVET dalam teknologi kenderaan elektrik, IoT dan sistem telematik!
Akademi TVET Termaju, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan program Train of Trainer: Commercial EV IoT and Telematics System Training yang berlangsung selama lima hari di Makmal EV & Hybrid, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), UMPSA.
Program yang berlangsung pada 3 hingga 7 Ogos 2026 ini melibatkan seramai 10 orang pensyarah daripada TVETMARA Jasin sebagai peserta. Penganjuran latihan ini bertujuan memperkukuh pengetahuan, kemahiran dan kompetensi tenaga pengajar dalam teknologi kenderaan elektrik (EV), Internet of Things (IoT) serta sistem telematik automotif yang semakin berkembang seiring dengan keperluan industri masa kini.
 
Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada pelbagai aspek teknologi dan aplikasi Commercial EV, IoT, sistem telematik, vehicle connectivity, pemantauan data serta sistem diagnostik moden. 🚗🔋📡
Pendekatan pembelajaran yang menggabungkan teori dan latihan amali turut memberikan peluang kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam berkaitan operasi, fungsi serta aplikasi teknologi EV dan sistem berkaitan dalam situasi sebenar.
Melalui latihan ini, para pensyarah bukan sahaja dapat meningkatkan kompetensi teknikal, malah berupaya membawa pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh untuk dikongsikan bersama para pelajar TVET. Usaha ini penting dalam memastikan tenaga pengajar sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terkini dan mampu menyediakan graduan yang mempunyai kemahiran relevan dengan keperluan industri.
 
Barisan pengajar yang terlibat dalam program ini terdiri daripada:
👨‍🏫 Ir. Ts. Dr. Muhammad Ikram bin Mohd Rashid
👨‍🏫 Ts. Muhammad Imran bin Mohmad Sairaji
👨‍🏫 Ts. Mohd Idzwanrosli bin Mohd Ramli
 
Penganjuran program ini turut memperkukuh jaringan kerjasama dan perkongsian kepakaran antara Akademi TVET Termaju UMPSA dan TVETMARA Jasin, khususnya dalam bidang teknologi automotif, kenderaan elektrik dan teknologi digital masa hadapan. 🤝
Kerjasama strategik seperti ini menjadi platform penting dalam memperkasakan ekosistem TVET negara melalui perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman antara institusi pendidikan serta pemain dalam bidang latihan kemahiran.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada 10 orang pensyarah TVETMARA Jasin, barisan pengajar serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
🌱 Pensyarah berkemahiran, pelajar berdaya saing, industri diperkasa.
Akademi TVET Termaju, UMPSA
Memacu Kompetensi TVET, Mendepani Teknologi Masa Hadapan. 🇲🇾⚡
 
Previous Next

PROGRAM MOBILITI PELAJAR UNNES : Latihan Non-Destructive Testing – Magnetic Particle Testing [10 Julai]

PROGRAM MOBILITI PELAJAR UNNES: LATIHAN NON-DESTRUCTIVE TESTING – MAGNETIC PARTICLE TESTING (MPT) OLEH AKADEMI TVET TERMAJU DI MAKMAL FTKMA
 
Pekan, 10 Julai 2026 – Sempena Program Mobiliti Pelajar Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia yang berlangsung di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), FTKMA telah menjemput Akademi TVET Termaju (ATVET) untuk mengendalikan latihan teknikal TVET di Makmal FTKMA.
 
Bagi menjayakan program tersebut, Kursus Non-Destructive Testing: Magnetic Particle Testing (MPT) telah dilaksanakan dengan penyertaan seramai 23 orang pelajar UNNES. Kursus intensif selama satu hari ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengenalan Non-Destructive Testing (NDT), teori kemagnetan, prinsip asas Magnetic Particle Testing (MPT) serta proses pelaksanaan pemeriksaan menggunakan kaedah MPT mengikut amalan industri.
 
Selain sesi teori, para peserta turut mengikuti latihan amali (hands-on) menggunakan peralatan Magnetic Particle Testing bagi mengesan kecacatan pada bahan ferromagnetic. Peserta juga didedahkan kepada kaedah penyediaan laporan teknikal berdasarkan hasil pengujian selaras dengan standard dan amalan industri.
Kursus ini dikendalikan oleh Ts. Junaedi Irwan bin Wan Abdul Halim dan Ts. Mohd Sazali bin Salleh, yang berkongsi kepakaran serta pengalaman dalam bidang NDT dan MPT.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen ATVET dalam menyokong usaha FTKMA memperkukuh pelaksanaan program mobiliti antarabangsa. Inisiatif ini turut memperkukuhkan jaringan kerjasama akademik antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan modal insan yang kompeten, berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri global.
Image
— Hubungi
Academy for Advanced TVET,
Teaching Factory Building,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah,
26600 Pekan Pahang

— Capaian Pantas