Previous Next

ATVET T-CERT 2026 : QLASSIC Skill Series: Building Quality Assessment

ATVET T-CERT 2026
QLASSIC Skill Series: Building Quality Assessment
9-10 Mei 2026
 
Program latihan teknikal QLASSIC Skill Series: Building Quality Assessment telah berjaya dilaksanakan pada 9 hingga 10 Mei 2026 bertempat di Studio 1, Bangunan ETIM, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang, Pahang.
Program ini dianjurkan sebagai salah satu usaha memperkukuh kemahiran teknikal dan kefahaman pelajar terhadap sistem penilaian mutu kerja pembinaan berasaskan standard industri pembinaan Malaysia. Latihan ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah pemeriksaan dan penilaian bangunan menggunakan sistem QLASSIC yang dibangunkan oleh CIDB Malaysia. Latihan ini dikendalikan oleh jurulatih bertauliah En. Mohd Sharulnizam Bin Wahap dan Ts Norhayani Binti Mohd Nor.
 
Sepanjang program berlangsung, peserta telah didedahkan dengan kandungan berkaitan prosedur pelaksanaan QLASSIC, teknik pemeriksaan kerja pembinaan, kaedah pensampelan, toleransi mutu kerja, serta kaedah pengiraan skor penilaian berdasarkan Standard Industri Pembinaan (CIS 7). Selain sesi teori, peserta turut menjalani latihan praktikal menggunakan peralatan penilaian QLASSIC bagi meningkatkan kefahaman terhadap aplikasi sebenar di tapak pembinaan.
Seramai 23 orang pelajar telah menyertai latihan ini. Program dijalankan bermula jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang sepanjang dua hari pelaksanaan. Kesemua peserta memberikan komitmen yang baik sepanjang sesi teori dan latihan amali dijalankan.
Diharapkan program seperti ini dapat membantu meningkatkan tahap kompetensi pelajar dalam bidang kawalan mutu pembinaan serta memberi nilai tambah kepada graduan TVET dalam memenuhi keperluan industri pembinaan semasa.
Tahniah dan syabas kepada semua peserta serta pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Cetak   Emel