Previous Next

ATVET T-CERT 2026 : Basic Lifting & Rigging

ATVET T-CERT 2026
BASIC LIFTING & RIGGING
6-7 JUN 2026
 
Program latihan Basic Lifting and Rigging yang telah berlangsung pada 06 hingga 07 Jun 2026 di Makmal Kejuruteraan Gas, Fakulti Kejuruteraan Teknologi Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya menarik penyertaan pelajar yang berminat untuk meningkatkan kompetensi dalam bidang pengangkatan dan rigging. Program ini dianjurkan oleh Pusat TVET Termaju UMPSA dengan kerjasama FTKKP sebagai sebahagian daripada siri latihan PTVET Training Series (T-CERT) yang memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran TVET berteraskan keperluan industri semasa.
 
Sepanjang tempoh latihan, para peserta telah mengikuti sesi pembelajaran yang menggabungkan elemen teori dan latihan amali bagi memberikan pemahaman menyeluruh berkaitan operasi pengangkatan yang selamat dan berkesan. Antara topik yang diketengahkan termasuk pengiraan tegangan sling, teknik pengendalian beban, kaedah pemasangan sling yang betul, simpulan asas rigging serta penyediaan lifting plan. Peserta turut didedahkan kepada aspek perundangan dan keperluan keselamatan yang berkaitan dengan aktiviti lifting dan rigging, di samping mempelajari kaedah pemeriksaan peralatan serta pengiraan kapasiti beban secara sistematik.
 
Seramai 26 pelajar pra siswazah UMPSA daripada pelbagai program pengajian telah menyertai latihan ini. Kesemua peserta berjaya menamatkan latihan dan memenuhi keperluan penilaian praktikal yang dijalankan. Penilaian tersebut merangkumi keupayaan peserta mengenal pasti centre of gravity (COG), memilih peralatan pengangkatan yang sesuai, mengendalikan beban dengan selamat serta melaksanakan peranan penting dalam pasukan lifting seperti lifting supervisor, rigger, signalman dan tagline man.
 
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam melahirkan graduan yang kompeten, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran industri. Selain memperkukuh pengetahuan teknikal, latihan ini turut menyemai budaya kerja selamat dan meningkatkan keyakinan pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran yang diperoleh dalam sektor minyak dan gas serta industri kejuruteraan yang berkaitan.

Print   Email