ATVET Perkasa Kompetensi NDT Pelajar Mobiliti LRVTC Melalui Latihan Magnetic Particle Testing
Jumlah paparan: 192
OGOS – SEPTEMBER 2026
Akademi TVET Termaju (ATVET), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kerjasama TVET antarabangsa melalui pelaksanaan kursus Non-Destructive Testing (NDT), khususnya Magnetic Particle Testing (MT), kepada pelajar mobiliti dari Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC), China.
Kursus ini merupakan sebahagian daripada Program Mobiliti Antarabangsa UMPSA–LRVTC yang dilaksanakan secara berperingkat dalam lima batch, melibatkan keseluruhan 100 orang pelajar.
Berlangsung selama satu setengah hari, kursus ini direka bentuk dengan pendekatan teori, demonstrasi dan latihan amali (hands-on) bagi memberikan pendedahan kepada peserta terhadap prinsip asas NDT, konsep kemagnetan, kaedah pemeriksaan serta aplikasi Magnetic Particle Testing dalam mengesan ketakselanjaran permukaan dan hampir permukaan pada bahan atau komponen feromagnetik.
Pada hari pertama, peserta mengikuti taklimat keselamatan serta sesi teori berkaitan prinsip NDT dan Magnetic Particle Testing. Sesi kemudiannya diteruskan dengan demonstrasi teknik dan prosedur pemeriksaan menggunakan peralatan NDT sebenar. Peserta seterusnya dibahagikan kepada empat kumpulan bagi menjalankan latihan amali secara berstruktur dengan bimbingan fasilitator.
Pada hari kedua, peserta diberi peluang melaksanakan pemeriksaan secara lebih kendiri dengan mengaplikasikan prosedur dan teknik yang telah dipelajari. Setiap kumpulan kemudiannya membentangkan hasil pemeriksaan, termasuk kaedah pemeriksaan, pemerhatian terhadap indikasi serta dapatan yang diperoleh. Sesi ini turut memberikan ruang kepada fasilitator untuk menilai kefahaman dan ketepatan hasil pemeriksaan peserta. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan amali ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman teknikal dalam bidang NDT, malah turut membangunkan kompetensi kerja berpasukan, komunikasi teknikal, kemahiran pemerhatian, analisis serta penyelesaian masalah yang selari dengan keperluan persekitaran industri.
Program turut diakhiri dengan penyampaian sijil kepada peserta mobiliti LRVTC sebagai pengiktirafan terhadap penyertaan dan komitmen mereka sepanjang mengikuti latihan di ATVET.
Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen UMPSA melalui ATVET dalam memperkasa pendidikan dan latihan TVET berorientasikan industri, memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta menyediakan pengalaman pembelajaran teknikal bertaraf global kepada peserta. Program mobiliti UMPSA–LRVTC juga menjadi platform strategik dalam memperkukuh hubungan institusi antara Malaysia dan China, di samping memperlihatkan keupayaan ATVET sebagai hab latihan TVET yang menyokong pembangunan kompetensi teknikal, pendedahan teknologi serta pembelajaran berasaskan amali.
Tahniah dan syabas kepada semua peserta LRVTC serta warga ATVET, UMPSA dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program mobiliti antarabangsa ini.
Latest News
23 September 2026
14 September 2026
Popular
- PENERIMAAN ABSORBER ASSEMBLY LINE PRODUCTION DARIPADA SAPURA
- UMP the first public university in the country to use Blockchain Technology for cert validation for its 2,773 graduates
- MHeLFAGV Ciptaan Penyelidik UMP Bantu Angkat Bebanan lebih 50 kg
- UMP proudly produces 2,773 graduates in its 13th Convocation